DUNGUN, 8 Mei 2026: Kerajaan Negeri dan KETENGAH akan memperkukuh kerjasama dalam pembangunan Tasik Kenyir khususnya melibatkan sektor pelancongan, pemuliharaan alam sekitar dan penguatkuasaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Razali Idris, berkata pertemuan bersama Pengerusi KETENGAH, Dato’ Rozi Mamat, menjadi langkah awal bagi memastikan Tasik Kenyir terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan pada Rabu lalu termasuk usaha menjaga Santuari Kelah, mengatasi isu kehilangan ikan kelah, air keruh serta penemuan pukat haram di Tasik Kenyir.
Selain itu, pembangunan produk ekopelancongan baharu seperti dome pelancongan, penganjuran acara antarabangsa, naik taraf infrastruktur serta promosi digital turut diberi perhatian.
Sementara itu, Rozi berkata perbincangan tersebut berlangsung secara terbuka dan konstruktif demi manfaat bersama khususnya dalam memperkasa sektor pelancongan negeri.
Menurutnya, Tasik Kenyir dan kawasan sekitar wilayah KETENGAH mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara lebih strategik sekali gus mampu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.