KUALA NERUS, 9 Mei 2026: Terengganu FC terus dirundung kecewa apabila tewas 1-3 kepada Imigresen FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan skuad Penyu kini berada di tangga keenam liga, manakala Imigresen FC berjaya membalas dendam kekalahan 2-3 pada pertemuan pusingan pertama sebelum ini.
TFC bermula garang apabila mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan Raianderson da Costa Morais. Namun, pasukan pelawat bangkit menyamakan kedudukan selepas pertahanan import tuan rumah tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-18.
Imigresen FC kemudian mendahului 2-1 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Eduardo Jose Vegas pada minit ke-32 sebelum pemain import itu sekali lagi menghukum TFC dengan gol ketiga pada minit ke-48.
Keputusan itu membolehkan Imigresen FC membawa pulang tiga mata berharga di laman lawan sekali gus menambah tekanan buat skuad Penyu di hadapan penyokong sendiri.
