TAPAH, 7 Jun 2026: Pendaki yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman, Jaslinda Saludin, 49, menemukan nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busuk sebelum ditemui selamat semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, nota itu dijumpai Jaslinda ketika berada di kem berkenaan pada 5 Jun lalu dan dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pasukan penyelamat.
Menurutnya, nota tersebut ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafis, ketika operasi pencarian dijalankan pada 30 Mei lalu. Nota itu mengandungi pesanan ringkas berbunyi: “Kak Jas Please Stay Satu Tempat, Orang Ramai Mencari.”
Jaslinda sebelum ini dilaporkan hilang selepas menyertai pendakian bersama 13 peserta lain dan dua MGP pada 23 Mei lalu di laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Difahamkan, wanita itu meneruskan perjalanan ke puncak gunung selepas berhenti seketika kerana masalah kesihatan dan kali terakhir dilihat pada pagi 24 Mei sebelum ditemukan selamat selepas lebih seminggu operasi SAR dijalankan.
