Polis sahkan kehilangan Jaslinda tiada unsur jenayah


TAPAH, 3 Jun 2026: Polis mengesahkan kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, hasil siasatan yang dijalankan setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan kehilangan wanita tersebut dengan sebarang perbuatan jenayah.


Menurut beliau, dakwaan yang tular di media sosial kononnya kehilangan Jaslinda mempunyai kaitan dengan masalah ah long juga didapati tidak berasas.


“Siasatan polis tidak menemukan sebarang kaitan dengan dakwaan tersebut. Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pasukan SAR menjalankan tugas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.


Jelasnya, fokus utama ketika ini adalah meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Jaslinda yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama kumpulan pendaki lain pada 24 Mei lalu.


Operasi pencarian masih diteruskan oleh pasukan keselamatan dengan bantuan pelbagai agensi serta sukarelawan berdasarkan petunjuk baharu yang diterima.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan