KUALA TERENGGANU, 7 Jun 2026: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu memberi tempoh tiga hari kepada sebuah pasar raya milik koperasi untuk mengemukakan penjelasan bertulis berhubung dakwaan penjualan daging busuk pada Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang tular di media sosial.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pegawai penyelaras pasar raya terbabit turut diarahkan hadir memberi penjelasan secara bersemuka berhubung insiden tersebut.
Menurutnya, KPDN memandang serius aduan pengguna berkaitan kualiti produk yang dijual menerusi PJRM dan akan menjalankan siasatan bagi memastikan program itu mencapai matlamat membantu rakyat mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan.
Isu itu tercetus selepas seorang pengguna memuat naik gambar daging dan tulang yang didakwa berwarna kehitaman serta mendakwa produk dibelinya dalam program berkenaan berada dalam keadaan tidak elok. Hantaran itu kemudian mengundang kecaman ramai pengguna di media sosial.
Mohd Mufsi berkata, pihak pasar raya telah menghubungi pelanggan terlibat dan menawarkan penggantian produk atau pemulangan wang tertakluk kepada pengesahan pembelian. Semakan dalaman juga sedang dijalankan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Beliau menegaskan tindakan tegas termasuk amaran, senarai hitam atau pembatalan penyertaan dalam PJRM boleh dikenakan terhadap mana-mana peniaga atau operator yang didapati melanggar syarat program.
