KUALA TERENGGANU, 5 Jun 2026: Tindakan pantas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berjaya menghalang penularan kes malaria import kepada penduduk tempatan walaupun 17 kes dikesan di negeri ini sejak awal tahun.
Dalam satu kenyataan hari ini, JKNT memaklumkan sebanyak 17 kes malaria dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, terdiri daripada 13 kes malaria manusia dan empat kes malaria zoonotik.
Daripada jumlah itu, 11 kes melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) manakala dua lagi melibatkan pendatang asing dengan izin.
Menurut JKNT, siasatan epidemiologi mendapati semua kes mendapat jangkitan di luar negara dan diklasifikasikan sebagai kes import.
“Terengganu masih mengekalkan status sifar kes malaria manusia tempatan. Kesemua kes telah dikesan awal dan transmisi jangkitan berjaya diputuskan,” menurut kenyataan itu.
JKNT berkata tiada penularan tempatan dikesan melibatkan penduduk negeri ini mahupun PATI yang berada di Terengganu.
Bagi membendung risiko penularan, pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk pengesanan kontak, kawalan vektor, kemasukan pesakit positif ke wad untuk rawatan lengkap, pengeluaran surat amaran kepada fasiliti kesihatan serta kerjasama dengan pelbagai agensi melalui Jawatankuasa Tindakan Daerah.
JKNT turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan mendapatkan maklumat berkaitan malaria daripada sumber rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
TV: Mantap!!!
