Hampir sejuta pengunjung masuk Terengganu sempena Aidiladha


Dikemaskini, DUNGUN, 5 Jun 2026: Hampir sejuta pengunjung membanjiri Terengganu sepanjang cuti Hari Raya Aidiladha bermula 22 Mei hingga 1 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata jumlah itu berdasarkan rekod kemasukan 419,183 kenderaan melalui plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menurutnya, angka tersebut tidak termasuk kemasukan melalui jalan persekutuan, motosikal serta Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus.

“Berdasarkan unjuran semasa, jumlah pengunjung sepanjang musim cuti Aidiladha tahun ini dianggarkan melebihi 943,000 orang,” katanya selepas merasmikan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) Denai Sungai Kebangsaan Peringkat Terengganu 2026 di Tasik Tanjung Sura, pada Khamis.

Beliau berkata kehadiran pengunjung terus merancakkan sektor pelancongan dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan menerusi penginapan, makanan serta aktiviti pelancongan.

Razali turut memaklumkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah pengunjung tersebut merupakan pelancong asing, terutama dari China, Singapura dan Thailand selain perantau dari luar negeri yang pulang beraya.

Katanya, kerajaan negeri yakin sasaran sembilan juta pelancong ke Terengganu tahun ini mampu dicapai selepas merekodkan 2.45 juta pelancong pada suku pertama tahun 2026.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan