Majlis Tahfiz Negara Diluluskan, Perkukuh Masa Depan Pendidikan Huffaz - Ahmad Zahid Hamidi


KUANTAN, 18 Jun 2026: Kerajaan meluluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara sebagai langkah strategik memperkukuh sistem pendidikan tahfiz dan memperluaskan pengiktirafan golongan huffaz dalam pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu, manakala beliau diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri untuk mempengerusikan majlis berkenaan.

Menurutnya, penubuhan Majlis Tahfiz Negara membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan institusi tahfiz terus relevan serta mempunyai hala tuju yang jelas selaras dengan keperluan semasa negara.

Beliau berkata, kerajaan mahu melahirkan lebih ramai lepasan tahfiz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran, malah memiliki kemahiran profesional dan berdaya saing dalam pelbagai bidang kerjaya.

“Pendidikan tahfiz perlu dilihat sebagai satu laluan yang mempunyai potensi besar. Anak-anak tahfiz mesti diberi peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta meneroka pelbagai bidang profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 huffaz dari seluruh negeri di Kompleks Yayasan Pahang, di sini.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan majlis itu turut selaras dengan aspirasi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang memberi penekanan kepada penyelarasan standard pendidikan, pengiktirafan akademik dan pembangunan pelajar tahfiz di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, beliau memuji usaha kerajaan Pahang yang konsisten memperkukuh institusi tahfiz menerusi pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Tadika Tahfiz Negeri Pahang.

Katanya, pendekatan pendidikan yang menyeluruh bermula dari peringkat awal kanak-kanak hingga ke pengajian tinggi membuktikan Pahang berjaya membangunkan ekosistem tahfiz yang tersusun dan mampan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan