JOHOR BAHRU – Pemergian seorang pengawal keselamatan ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di sebuah surau di Taman Daya, dekat sini, mengundang rasa sebak dalam kalangan masyarakat.
Allahyarham Abdul Malik Zakaria dilaporkan rebah ketika berada dalam tahiyat akhir sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada Isnin lalu.
Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan dan rakamannya kemudian dikongsikan oleh ahli keluarga menerusi media sosial sehingga tular dan mendapat perhatian ramai.
Menurut keluarga, Allahyarham keluar bekerja seperti biasa pada hari kejadian untuk mencari rezeki buat keluarga tanpa menunjukkan sebarang perubahan atau petanda yang mencurigakan.
Mereka menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu pengakhiran yang baik apabila menghembuskan nafas terakhir ketika sedang beribadah kepada Allah SWT.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menzahirkan rasa simpati serta mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sementara itu, anak Allahyarham, Noramalina, turut berkongsi kenangan terhadap bapanya yang disifatkan sebagai seorang yang amat mencintai rumah Allah.
Menurutnya, Allahyarham sentiasa berusaha menghadiri solat berjemaah di masjid atau surau berhampiran selagi kesihatannya mengizinkan.
Selain itu, arwah juga dikenali sebagai seorang yang ringan tulang, gemar membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan serta sentiasa mengutamakan keluarga.
Noramalina berkata, nilai menghormati ibu bapa dan membantu masyarakat merupakan antara prinsip hidup yang sentiasa dipegang oleh bapanya sepanjang hayat.
Perkongsian mengenai keperibadian Allahyarham itu terus menyentuh hati warga maya yang menyifatkannya sebagai seorang insan yang meninggalkan teladan serta kenangan baik kepada keluarga dan masyarakat sekeliling.
