Malaysia-Rusia perkukuh kerjasama tenaga, AI dan perdagangan - PMX


MOSCOW, 18 Jun 2026: Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam sektor tenaga yang dilihat sebagai antara bidang strategik antara Malaysia dan Rusia.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan beliau turut menyampaikan salam daripada Yang di-Pertuan Agong serta merakamkan penghargaan atas layanan baik dan penghormatan yang sentiasa diberikan Rusia kepada Malaysia.

Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi, termasuk penghargaan terhadap komitmen Persekutuan Rusia untuk menjalin kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.

Anwar berkata, kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai potensi memperkasa kerjasama dalam beberapa bidang berteknologi tinggi seperti teknologi baharu, keselamatan siber, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan industri farmaseutikal.

Selain itu, katanya, perbincangan merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat menerusi cadangan pemansuhan visa serta meneroka mekanisme bagi memperluaskan perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan, iaitu Ringgit dan Ruble.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyifatkan Putin sebagai seorang pemimpin yang konsisten dan berprinsip dalam menyuarakan pendirian berkaitan isu Gaza dan Iran.

Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan serta daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan