MARANG, 18 Jun 2026: Terengganu sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila muncul sebagai negeri terbaik bagi tujuh tahun berturut-turut.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, Terengganu mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.18 dalam STPM 2025, mengatasi PNGK nasional yang merekodkan 2.88.
Menurut beliau, seramai 2,177 calon menduduki peperiksaan STPM di negeri itu tahun lalu.
Katanya, seramai 112 calon memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0 atau semua A penuh, meningkat berbanding 110 calon pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, bilangan calon yang memperoleh semua A, iaitu gabungan A dan A-, menurun kepada 147 orang berbanding 162 orang pada tahun lalu.
"Secara keseluruhan, seramai 259 calon memperoleh keputusan semua A penuh dan semua A pada tahun ini berbanding 272 calon pada tahun sebelumnya.
"Seramai 1,699 pelajar memperoleh keputusan 5 Prinsipal (P) dan 4P berbanding 1,938 pelajar pada tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di sini, hari ini.
Wan Zuraidi berkata, sebanyak 43 daripada 46 sekolah di Terengganu berjaya melepasi PNGK minimum kebangsaan, manakala kesemua sekolah tersebut mencatatkan kadar lulus penuh 100 peratus.
Selain itu, sebanyak 36 sekolah berjaya mencapai PNGK minimum 3.0 dan ke atas berbanding 34 sekolah pada tahun lalu.
Menurut beliau, lapan sekolah mencatatkan keputusan cemerlang apabila mencapai 100 peratus calon memperoleh 5P atau 4P, iaitu SMK Bukit Sawa, SMKA Sheikh Abdul Malik, SMKA Nurul Ittifaq, SMK Bukit Payung, SMK Ketengah Jaya, SMK Putera, SMK Tun Telanai dan SMK Bukit Nenas.
Dalam pada itu, dua pelajar dari Terengganu turut mengharumkan nama negeri apabila dipilih sebagai pelajar terbaik peringkat kebangsaan bagi aliran sains sosial.
Mereka ialah Marisya Kamila Mohamad Hafiz dari SMK Bukit Sawa dan Wan Nur Mahirah Wan Harun dari SMK Bukit Payung, Besut, yang masing-masing memperoleh keputusan cemerlang 5A.
