Pencarian Jaslinda diteruskan dengan petunjuk baharu


TAPAH, 3 Jun 2026: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu akan diteruskan berdasarkan maklumat dan petunjuk baharu yang diterima pihak berkuasa.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi berskala kecil itu akan bermula esok dan diselaraskan oleh pihak bomba dengan kerjasama komuniti setempat serta sukarelawan.


Menurut beliau, pasukan SAR akan memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti berdasarkan maklumat terkini, selain mengambil tindakan segera sekiranya terdapat petunjuk baharu berkaitan kehilangan wanita berkenaan.


Katanya, individu yang ingin menyertai operasi pencarian termasuk sukarelawan dan malim gunung perlu melaporkan diri terlebih dahulu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bagi tujuan penyelarasan bersama Jabatan Perhutanan.


Tambah beliau, kawasan pencarian terletak dalam hutan simpan dan tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran pihak berkuasa. Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga telah ditutup, manakala operasi SAR seterusnya akan dikendalikan dari BBP Tapah.


Sementara itu, seramai 23 anggota daripada JBPM, Jabatan Perhutanan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya dibawa keluar dari kawasan operasi dengan selamat. Sebuah pasukan kecil yang terdiri daripada lapan anggota STORM dan dua Malim Gunung Perhutanan turut dihantar semula ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh di sektor berhampiran puncak Gunung Batu Putih.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan