Penyebaran ajaran Islam perlu beretika, tidak wajar libatkan institusi pendidikan awam - Senator DAP


KUALA LUMPUR, 17 Jun 2026: Penyebaran ajaran Islam di negara ini perlu dilakukan secara beretika dan berhemah tanpa melibatkan institusi pendidikan awam.

Senator DAP, RA Lingeshwaran berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama termasuk hak untuk menyebarkan ajaran Islam, ia tidak sepatutnya dilakukan dalam institusi pendidikan awam.

Menurut beliau, tindakan menjadikan institusi pendidikan awam sebagai medium penyebaran agama boleh mencetuskan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan pelajar bukan Islam serta keluarga mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa institusi pendidikan awam di Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

“Institusi ini tidak wajar dimanipulasi atau dieksploitasi sebagai platform menggalakkan penukaran agama, sama ada secara langsung atau melalui pemberian insentif, keistimewaan atau sebarang bentuk galakan yang boleh menimbulkan persepsi negatif.

“Perbuatan sedemikian merupakan penyalahgunaan institusi awam yang sepatutnya kekal neutral, inklusif dan menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyatakan bahawa Islam boleh disebarkan dan dikembangkan di mana-mana sahaja di negara ini, termasuk di pusat pengajian tinggi.

“Agama kamu yang tidak boleh disebarkan dalam kalangan orang Islam, hanya boleh diamalkan sahaja,” kata Mohd Khairuddin.

Mengulas lanjut, Lingeshwaran berkata Malaysia dibina atas asas masyarakat majmuk dan sebarang kenyataan yang berpotensi menjejaskan kepercayaan antara komuniti serta keharmonian sosial tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin.

“Lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada individu yang dikaitkan dengan gabungan politik berbilang kaum seperti Barisan Nasional (BN),” katanya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan