PNKKTS nafi warga Rohingya terbabit aktiviti di kompleks LKIM Pulau Kambing


KUALA TERENGGANU: Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS) menafikan dakwaan warga Rohingya terbabit dalam aktiviti memunggah ikan di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing seperti yang tular di media sosial.

Pengerusinya, Mohd Razif Embong, berkata pihaknya tidak membenarkan warga asing memasuki kawasan kompleks bagi menjalankan aktiviti pemunggahan hasil laut.

Menurutnya, PNKKTS bersama pengurusan LKIM turut melarang warga asing memasuki Pasar Nelayan di dalam kompleks berkenaan untuk membeli hasil laut.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya pembabitan warga asing terutama etnik Rohingya di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing seperti yang diviralkan di media sosial.

“Siasⱄtan yang dijalankan mendapati gambar sekumpulan etnik Rohingya yang didakwa menangkap ikan untuk simpanan stok mereka bukan berlaku di dalam atau sekitar kompleks LKIM Pulau Kambing,” katanya.

Mohd Razif berkata, gambar yang tular itu dipercayai dirakam di lokasi lain dan bukannya di kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing.

Beliau menegaskan semua warga asing termasuk etnik Rohingya tidak dibenarkan memasuki kawasan kompleks tersebut.

Katanya, pihak PNKKTS akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekiranya terdapat warga asing yang didapati memasuki kawasan berkenaan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan