Resort buang ‘air taik’ dalam laut cetus kecaman warganet


BESUT: Dakwaan sebuah resort ternama di Pulau Perhentian menyalurkan sisa kumbahannya ke laut mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video yang dimuat naik pengguna threads, Ninasabby, tular di media sosial.

Menurut perkongsian tersebut, rakannya yang melakukan aktiviti selaman berhampiran jeti sebuah resort di Pulau Perhentian mendakwa menemui saluran paip dipercayai menyalurkan sisa kumbahan ke laut. Mereka turut mendakwa mengalami kegatalan kulit selepas aktiviti berkenaan.

Susulan penularan video itu, Nina memuat naik satu lagi hantaran mendakwa paip tersebut telah hilang pada keesokan harinya.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, resort tersebut memaklumkan pihaknya mempunyai sistem rawatan air sisa sendiri dan saluran kumbahan yang dipaparkan dalam video berkenaan hanyalah bersifat sementara ketika kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan.

Menurut resort itu, langkah penyesuaian yang diperlukan telah dibuat dan pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

Resort berkenaan turut memaklumkan pihaknya komited terhadap pengoperasian yang bertanggungjawab dan pemeliharaan alam sekitar.

Bagaimanapun, penjelasan tersebut tidak meredakan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan tindakan menyalurkan air sisa ke laut walaupun bersifat sementara.

Warganet turut menggesa siasatan dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan kerana bimbang ianya menjejaskan kualiti air, terumbu karang, hidupan marin serta industri pelancongan Pulau Perhentian.

Untuk rekod, isu pencemaran yang dikaitkan dengan sisa kumbahan di Pulau Perhentian pernah mendapat perhatian pada 2022 apabila Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menjalankan siasatan terhadap dakwaan enam pelancong mengalami keracunan makanan yang dipercayai berkaitan pencemaran air.

TV: Rilek je terapung…

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan