KUALA TERENGGANU, 3 Jun 2026: Video memaparkan pertikaman lidah antara pelanggan dan peniaga nasi ayam tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads, Damia Irdina, meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterimanya.
Menurut hantaran tersebut, pelanggan mendakwa telah membuat pesanan tujuh nasi ayam membabitkan dua bahagian dada dan lima bahagian paha, namun hanya menerima enam ketul ayam.
Dakwa pelanggan itu, selepas memaklumkan mengenai kekurangan satu bahagian paha, pihak peniaga didakwa bertindak mengherdik dan meminta pelanggan berkongsi bahagian ayam yang diterima.
Pelanggan berkenaan turut mendakwa masih terdapat bekalan ayam di premis tersebut ketika kejadian berlaku.
“Customer service sangat teruk,” tulisnya dalam hantaran yang turut menggesa orang ramai memboikot premis berkenaan.
Susulan itu, rakaman video pertikaman lidah antara pelanggan dan peniaga mula tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi warganet.
Rata-rata netizen berpendapat isu berkenaan sepatutnya dapat diselesaikan dengan lebih profesional tanpa perlu berlaku pertengkaran di hadapan pelanggan.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak peniaga berhubung dakwaan yang tular tersebut.
