KUALA TERENGGANU, 7 Jun 2026: Lebih 100 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini berdepan gangguan semut charlie yang dilaporkan semakin banyak sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) PPR Hiliran, Zabri Awang, berkata serangan serangga itu melibatkan pelbagai peringkat umur termasuk bayi, kanak-kanak dan golongan dewasa.
Menurutnya, beberapa mⱄngsa turut mendapatkan rawatan di hospital dan klinik selepas mengalami kesan akibat terkena toksin semut berkenaan.
“Sekali terkena pada tubuh, air bisanya boleh memberi kesan pada bahagian lain yang disentuh,” katanya.
Beliau menasihatkan penduduk supaya mengambil langkah pencegahan seperti menyediakan semburan aerosol racun serangga, mengurangkan penggunaan lampu terang pada waktu malam serta sentiasa memeriksa dinding dan siling rumah.
Zabri berkata, satu laporan telah dikemukakan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan perkara itu kini dalam perhatian pihak berkuasa.
Penduduk mendakwa populasi semut charlie meningkat terutama pada waktu malam sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni, khususnya kanak-kanak.
