KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan rombakan pentadbirannya berkuat kuasa serta-merta sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penstrukturan semula itu diputuskan bagi memperkukuh organisasi parti serta menghadapi cabaran politik yang bakal mendatang.
Menerusi rombakan tersebut, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin digugurkan daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya dan digantikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam masa sama, Muhammad Sanusi turut melepaskan jawatan Bendahari PN yang kini disandang Subramaniam Surunaryan.
PN turut mengumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberhentikan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional.
Ahmad Samsuri dalam hantaran di laman Facebook rasminya berkata, penstrukturan itu dibuat demi memperkukuh Perikatan Nasional dan mempersiapkan organisasi menghadapi cabaran mendatang.
Beliau turut memaklumkan satu Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha memperkukuh lagi pentadbiran gabungan tersebut.
