MARANG: Perkongsian seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jejulong, Marang, memaparkan perbualannya bersama seorang murid yang tabah mengharungi kehidupan serba kekurangan telah menyentuh hati ramai pihak.
Video dimuat naik oleh Cikgu Saidi Yusof itu memaparkan sesi podcast ringkas bersama murid berkenaan sebelum satu jawapan yang diberikan benar-benar mengundang sebak.
Ketika ditanya sama ada dia akan menghadiri kelas KAFA selepas tamat sesi persekolahan, murid itu hanya menggeleng kepala sebelum memaklumkan dia tidak hadir kerana tidak mempunyai wang.
“Mari kelas KAFA ke dok?”
“Dok sebab takdok duit…”
Jawapan tersebut membuatkan Cikgu Saidi terdiam seketika sebelum bertanya berapa wang yang dibawanya ke sekolah pada hari itu.
Murid berkenaan sekali lagi hanya menggelengkan kepala, menyebabkan guru itu terkejut apabila mengetahui pelajarnya hadir ke sekolah tanpa membawa wang saku.
Dalam rakaman sama, murid tersebut dilihat menekup wajahnya dengan kain tudung sambil menangis, sekali gus mengundang rasa sebak warganet.
Menerusi perkongsian itu, Cikgu Saidi turut menggambarkan murid tersebut sebagai seorang anak yang matang sebelum usianya, sering mengutamakan keperluan keluarga serta membantu menjaga adik-adiknya sama ada di rumah mahupun ketika menemani ibunya di hospital.
“Apabila dibawa ke kedai, dia tidak memikirkan kehendaknya sendiri. Barang yang sering menjadi keutamaannya ialah keperluan dapur untuk ibunya,” tulis Cikgu Saidi yang turut membantu menyediakan keperluan murid tersebut.
Ruangan komen pula dibanjiri pengguna media sosial yang meluahkan rasa simpati, malah ramai menyatakan hasrat untuk membantu murid berkenaan serta memuji kegigihannya untuk terus hadir ke sekolah walaupun berdepan kesukaran hidup.
Perkongsian itu turut mengundang doa agar urusan murid terbabit serta keluarganya dipermudahkan dan diberikan rezeki yang lebih baik pada masa hadapan.
TV: Jangan cari video tu kalau tak cukup kuat…😭
