Tindakan pengurus pasukan Hakim Danish alih minuman keras dari podium dipuji


KUALA LUMPUR, 22 Jun 2026: Kemenangan bersejarah pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli di Grand Prix (GP) Republik Czech bukan sahaja mencuri tumpuan di litar, malah turut menyerlahkan nilai hormat terhadap sensitiviti agama di podium.

Sebaik Hakim Danish disahkan sebagai juara perlumbaan Moto3, pengurus pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Jordi Gatell dilihat bertindak pantas mengalihkan botol champagne yang diletakkan di podium sebelum majlis penyampaian trofi bermula.

Tindakan spontan itu memastikan tiada botol minuman beralkohol berada di tempat Hakim Danish berdiri ketika meraikan kemenangan sulungnya di pentas Moto3.

Lebih mencuri perhatian, ketika sesi Champagne Shower berlangsung beberapa minit kemudian, Hakim Danish memilih untuk meninggalkan podium dan Gatell turut dilihat beredar bersama pelumba negara itu.

Apa yang lebih mengagumkan, Gatell tidak perlu diminta atau diingatkan mengenai perkara tersebut, sebaliknya mengambil sendiri inisiatif menghormati pegangan agama anak buahnya.

Tindakan itu menerima pujian ramai kerana Gatell yang bukan beragama Islam tetap memahami sensitiviti terbabit, meskipun penggunaan champagne di podium perlumbaan merupakan tradisi yang sudah lama sinonim dalam sukan permotoran dunia.

Malah, beliau dilihat sanggup mengetepikan aspek komersial dan keperluan penaja demi memastikan Hakim Danish dapat meraikan kejayaan bersejarah itu dengan selesa serta selaras dengan pegangan agamanya.

Detik berkenaan menambahkan lagi kemanisan kejayaan Hakim Danish yang menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk kembali menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di pentas Moto3 selepas kali terakhir dicapai oleh Khairul Idham Pawi pada musim 2016.

Peristiwa itu sekali gus membuktikan bahawa dalam sukan berprestasi tinggi, rasa hormat, kefahaman dan toleransi terhadap perbezaan budaya serta agama tetap menjadi nilai yang mampu menyatukan semua pihak.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan