Wanita mohon maaf hina warga China 'busuk', 'tak mandi'


PETALING JAYA, 20 Jun 2026: Selepas dikecam hebat oleh netizen di Malaysia dan China, wanita yang tular kerana didakwa menghina penduduk China ketika bercuti di negara itu akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kontroversi berkenaan turut mendapat perhatian apabila beberapa pengguna media sosial berkongsi laporan media luar negara yang melaporkan rasa kurang senang terhadap tindakan wanita terbabit.

Menyedari video tersebut terus mengundang kecaman, Nur Asyiqin Mohd Dalil menerusi akaun TikTok @ekyn_wong mengakui tindakannya itu merupakan reaksi spontan dan tidak pernah dirancang.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan reaksi spontan ketika bercuti di China pada 15 Jun lalu.

"Saya memahami dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan yang telah menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak. Saya juga tidak pernah berniat untuk menyinggung, mengaibkan atau mencetuskan sebarang konflik," katanya.

Menurut Nur Asyiqin, dia menerima segala teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka serta mengakui kesilapannya.

Katanya, insiden tersebut menjadi pengajaran berharga untuk dirinya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat.

"Saya benar-benar kesal dengan perbuatan itu dan berjanji akan menjadikannya sebagai iktibar untuk menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab pada masa hadapan," katanya lagi.

Sebelum ini, Nur Asyiqin menjadi perhatian ramai selepas memuat naik video percutian di China yang memaparkan dirinya menutup hidung sambil mendakwa penduduk di negara itu 'busuk' dan 'tidak mandi'.

Rakaman berkenaan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial serta mengundang kecaman daripada warga maya di kedua-dua negara.

Susulan kontroversi itu, Nur Asyiqin dilaporkan turut bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadapnya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan