Hakim Danish tamatkan penantian 10 tahun Malaysia dengan kejuaraan GP Czech Moto3
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di pentas Moto3 apabila muncul juara Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, hari ini.
Kejayaan itu lebih manis apabila Hakim Danish bangkit daripada penalti yang diterimanya selepas sesi kelayakan sehingga terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14.
Sehari sebelum perlumbaan, beliau sebenarnya mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan. Namun, penalti dikenakan selepas didapati memperlahankan jenteranya di salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2).
Bermula dari petak ke-14 tidak mematahkan semangatnya apabila beliau mempamerkan tunggangan bertenaga dengan memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Marco Quiles melengkapkan podium di tempat ketiga.
Pelumba berusia 18 tahun dari Terengganu itu sekali gus mengakhiri kemarau kemenangan Malaysia dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi yang muncul juara GP Argentina dan GP Jerman pada musim 2016.
Kejayaan itu turut mencatat satu lagi detik membanggakan buat sukan permotoran negara apabila seorang lagi pelumba Malaysia berjaya berdiri di podium tertinggi saingan Moto3 dunia.
