Anak Marang bawa RXZ lebih 10,000km hingga ke Everest, redah suhu -18 darjah celsius

May be an image of motorcycle and text 

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober 2026: Motosikal Yamaha RXZ yang sinonim dengan jalan raya di Malaysia kini membuktikan keupayaannya di laluan ekstrem apabila 16 penunggang dari negara ini mengembara lebih 10,000 kilometer hingga ke Everest Base Camp, Tibet.

Antara peserta yang menyahut cabaran itu ialah Mohd. Firdaus Abdul Wahab, 34, dari Kampung Merchang, Marang, yang menyertai ekspedisi anjuran Kelab Pengembaraan MS88 bersama 15 penunggang lain.

Bagi pemilik bengkel motosikal itu, perjalanan merentasi Thailand, Laos dan Tibet bukan sekadar menguji keupayaan jentera dua lejang berkenaan, malah menuntut ketahanan diri apabila berdepan suhu serendah minus 18 darjah Celsius.

Firdaus berkata, keadaan cuaca yang terlalu sejuk menjadi antara ujian paling mencabar sepanjang misi berkenaan, sekali gus memerlukan persediaan mental dan fizikal yang rapi.

Walaupun berdepan keadaan ekstrem, semua motosikal peserta dilaporkan berjaya meneruskan perjalanan tanpa mengalami kerosakan serius.

Ekspedisi yang bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 5 Oktober lalu itu dijadualkan mengambil masa 33 hari bagi perjalanan pergi dan balik.

Firdaus dijangka tiba di Terengganu pada 12 November ini selepas menempuh perjalanan pulang yang dianggarkan mengambil masa kira-kira 12 hari.

Bagaimanapun, perjalanan pulang mereka berdepan perubahan apabila gempa bumi di China, kelmarin, memaksa kumpulan itu mengubah laluan asal.

Wakil kelab, Mohamad Mujahid Mohd. Pisal, 35, berkata ekspedisi itu diadakan bagi membuktikan motosikal Yamaha RXZ mampu mengharungi laluan mencabar yang lazimnya menjadi pilihan penunggang motosikal berkuasa besar.

Katanya, perubahan cuaca secara mendadak dan laluan bersalji turut menjadi cabaran sepanjang perjalanan.

Daripada 16 peserta, 13 merupakan anak Kedah, manakala Terengganu, Johor dan Pulau Pinang masing-masing menghantar seorang wakil.

Sebelum ini, pada 2024, kelab berkenaan turut menjelajah beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam menggunakan motosikal Yamaha RXZ.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan