KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026: Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang membentuk Gabungan SG4 bersedia menjadi negeri perintis bagi mengkaji penggunaan teknologi Reaktor Modular Kecil (SMR) sebagai alternatif penjanaan tenaga negara pada masa depan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, teknologi reaktor nuklear berskala kecil itu wajar diteliti sebagai pilihan berbanding pembinaan loji nuklear berskala besar.
Menurutnya, perbincangan mengenai SMR perlu mengambil kira perkembangan teknologi semasa serta potensinya dalam memenuhi keperluan tenaga Malaysia.
Beliau menjelaskan, teknologi yang dimaksudkan bukanlah loji tenaga nuklear berskala besar seperti Fukushima, sebaliknya reaktor bersaiz kecil yang berupaya menjana tenaga pada skala lebih rendah.
Ahmad Samsuri berkata, beliau pernah melawat sebuah stesen janakuasa nuklear di luar negara dan berpeluang melihat sendiri saiz reaktor serta kemudahan berkaitan.
Pengalaman itu mendorong beliau berpandangan bahawa Malaysia wajar mengkaji potensi penggunaan teknologi berkenaan dengan lebih mendalam.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, Isnin.
Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keterbukaan untuk mengkaji teknologi itu bukan sahaja melibatkan empat negeri SG4, malah negeri lain sekiranya PN membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam perkembangan lain, beliau berpandangan kerajaan negeri perlu diberikan kuasa lebih besar untuk menentukan keutamaan pembangunan infrastruktur masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada keputusan kerajaan Persekutuan.