BUDI MADANI bukti kejayaan negara, beban rakyat berkurang & ketirisan subsidi dibendung - Menteri Kewangan II

May be an image of text 

KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2026: Pelaksanaan program BUDI MADANI disifatkan sebagai antara kejayaan negara dalam melaksanakan penyasaran subsidi yang membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, malah turut berjaya membendung ketirisan subsidi bahan api.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu membolehkan rakyat yang layak menikmati harga bahan api bersubsidi, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

Menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), pengguna yang layak boleh membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.42 seliter, dengan had kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Bagi diesel pula, pengguna yang layak menikmati harga RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan had sehingga 400 liter sebulan.

Menurutnya, manfaat penjimatan itu turut dirasai pengguna mengikut jumlah penggunaan bahan api bulanan, dengan mereka yang menggunakan keseluruhan kelayakan mendapat penjimatan lebih tinggi.

Dalam usaha memastikan subsidi sampai kepada golongan yang layak, kerajaan turut menggunakan MyKad sebagai mekanisme pengesahan pembelian petrol bersubsidi.

Langkah itu membantu mengekang ketirisan, khususnya pembelian oleh warga asing yang tidak layak menikmati subsidi berkenaan.

Amir Hamzah berkata, penjimatan hasil usaha membendung ketirisan boleh dimanfaatkan semula untuk menambah baik bantuan kepada rakyat selain memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Kerajaan juga mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam penyelewengan subsidi, termasuk kes yang dikesan di Nibong Tebal baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, mengulas cadangan mengecualikan golongan berpendapatan 20 peratus tertinggi (T20) daripada subsidi RON95, beliau berkata perkara itu memerlukan penelitian lanjut kerana kerajaan ketika ini mahu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan ketirisan tanpa menambah tekanan kepada rakyat. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan