KEMAMAN, 29 Oktober 2026: Struktur bumbung Medan Selera Kemasik yang runtuh sejak Khamis lalu, menyebabkan enam peniaga tidak dapat meneruskan perniagaan kerana premis berkenaan tidak selamat digunakan.
Seorang peniaga, Alias Mohd, 70, bersyukur kejadian itu berlaku pada tengah malam selepas operasi ditutup dan tiada pelanggan berada di premis berkenaan.
“Nasib baik kejadian struktur bumbung medan selera ini runtuh berlaku ketika kami telah tutup operasi, saya tidak dapat gambarkan suasana cemas sekiranya berlaku ketika premis berkenaan penuh dengan pelanggan.”
Runtuhan itu dipercayai berpunca daripada struktur besi bumbung yang berkarat dan reput, walaupun kerja pembaikan termasuk bahagian bumbung telah dilakukan tahun lalu.
Seorang lagi peniaga, Nurlyana Asyiqin Mazlan, 28, berkata beliau mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada rakannya kira-kira 12.15 tengah malam.
Susulan kejadian, peniaga terjejas berharap Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menyediakan tapak perniagaan sementara sepanjang kerja pembaikan dijalankan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, MPK akan mengambil tindakan melupuskan struktur bumbung yang rosak serta menaik taraf lot kedai berkenaan.
“Saya berharap kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan segera dengan menitikberatkan aspek keselamatan dan kualiti pembinaan bagi memastikan premis itu selamat digunakan semula serta kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.