KUALA TERENGGANU, 28 Oktober 2026: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, operasi syarikat badan berkanun Kerajaan Negeri sentiasa ditambah baik bagi memulihkan prestasi syarikat yang mencatat kerugian.
Beliau berkata, penambahbaikan pengurusan sentiasa dilakukan bagi memulihkan prestasi kewangan syarikat. Usaha mengurangkan kerugian juga dapat dilihat menerusi perbandingan kerugian yang pernah ditanggung pada era pentadbiran terdahulu.
Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus meneliti prestasi kewangan syarikat terlibat dari semasa ke semasa, termasuk kedudukan kewangan, prestasi operasi serta masalah yang dihadapi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut melaksanakan audit dalaman selain pemantauan oleh Jabatan Audit Negara bagi meneliti pengurusan kewangan.
“Kita menyambut baik dapatan audit dan sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Jika dibandingkan dengan 10 tahun lepas, terdapat perbezaan besar dari segi usaha mengurangkan kerugian yang ditanggung syarikat,” katanya selepas menghadiri Seminar Biodiversiti Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi kewangan anak syarikat kerajaan negeri susulan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2/2026 bagi Terengganu yang tular sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 20 daripada 26 subsidiari atau anak syarikat badan berkanun negeri Terengganu direkodkan mengalami kerugian berjumlah RM24.01 juta pada 2024, menurut maklumat yang dipetik daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 yang dibentangkan pada Oktober 2026.
Daripada jumlah keseluruhan itu, hanya enam anak syarikat mencatatkan keuntungan berjumlah RM2.12 juta.