Redah suhu 2 darjah, jalan berbatu dan gunung 5,300 meter, 14 buah RXZ tetap mara ke Everest

May be an image of one or more people and text 

KUALA LUMPUR, 4 November 2026: Siapa sangka motosikal Yamaha RXZ135 yang sinonim dengan jalan raya tempatan mampu dibawa merentasi ribuan kilometer sehingga ke kawasan Everest Base Camp (EBC) di Tibet.

Lebih mengagumkan, seramai 16 peserta MS88 Kelab Permotoran nekad merealisasikan misi luar biasa itu dengan menunggang 14 motosikal RXZ135 bersama dua pembonceng, merentasi Thailand, Laos dan China.

Ekspedisi yang bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada awal Oktober lalu itu bukan perjalanan biasa apabila peserta terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan pergunungan, jalan berbatu dan cuaca ekstrem.

Salah seorang peserta, Muhamad Qusyairy berkata, misi berkenaan pada awalnya turut dibayangi kebimbangan susulan kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Nepal pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan meneruskan perjalanan selepas pihak ejen memaklumkan keadaan laluan kembali pulih dan selamat untuk dilalui.

Menurutnya, perjalanan dari Thailand sehingga ke destinasi mengambil masa kira-kira 31 hingga 32 hari dengan laluan yang ditentukan berdasarkan keadaan cuaca dan faktor keselamatan.

Cabaran paling getir bermula apabila konvoi memasuki kawasan pergunungan Tibet yang mempunyai laluan berbatu, selain perlu merentasi kawasan berketinggian sehingga kira-kira 5,300 meter dari aras laut.

Lebih menguji ketahanan apabila suhu di kawasan berkenaan boleh mencecah antara dua hingga empat darjah Celsius, sekali gus memerlukan peserta mengharungi kesejukan sepanjang perjalanan.

Dalam keadaan itu, motosikal RXZ135 yang menggunakan enjin dua lejang turut diuji ketahanannya untuk perjalanan jarak jauh berbanding motosikal moden yang lebih canggih.

Qusyairy berkata, risiko batu besar jatuh dari lereng gunung ke jalan raya turut menyebabkan mereka perlu sentiasa berwaspada ketika menunggang.

Bukan itu sahaja, mendapatkan makanan halal di beberapa kawasan juga menjadi cabaran sehingga peserta membawa bekalan makanan dari Malaysia dan memasak sendiri apabila berhenti.

Malah, mereka turut membawa peralatan memasak serta pelbagai alat ganti motosikal bagi menghadapi kemungkinan kerosakan sepanjang ekspedisi.

Sepanjang berada di China, konvoi mengharungi kira-kira 4,000 kilometer di lebuh raya dan 4,500 kilometer melalui jalan darat termasuk laluan kampung yang mencabar.

Jarak perjalanan harian pula antara 200 hingga 500 kilometer, bergantung kepada keadaan laluan dan lokasi sesuai untuk berehat.

Peserta lazimnya memulakan perjalanan seawal pagi dan berhenti sebelum matahari terbenam bagi mengelakkan risiko menunggang dalam keadaan gelap.

Bagaimanapun, segala kepayahan itu terubat apabila mereka berpeluang menyaksikan keindahan banjaran gunung yang diliputi salji sepanjang perjalanan menuju destinasi.

Lebih daripada sekadar ekspedisi bermotosikal, misi itu turut menguji semangat setiakawan apabila setiap masalah dan perselisihan faham diselesaikan melalui perbincangan serta keputusan bersama.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan