Seorang bekas jurutera berusia 34 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di Chabang Tiga pada 18 Disember lalu.
Tertuduh didakwa cuba menggunakan 359 keping wang kertas RM50 sebagai wang tulen, dan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 489B dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Mahkamah menetapkan 19 Januari ini untuk fakta kes dan jatuh hukum, dan jaminan tidak dibenarkan.
Dalam kes berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri seutas rantai tangan bernilai RM29,000 di sebuah kedai emas di Paka, Dungun pada 25 Disember lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Mahkamah Majistret Dungun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari untuk fakta kes dan jatuh hukum.
