KUALA TERENGGANU, 14 JAN 2026: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada Rabu atas pertuduhan berpakaian dan berlagak seperti wanita di sebuah pusat beli-belah di sini, Mei tahun lalu.
Tertuduh, yang dikenali sebagai ‘Miera Martoza’, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Hamidi Shafie.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berulang dengan memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di Tingkat 3, KTCC Mall, Jalan Sultan Zainal Abidin, kira-kira 4 petang, 12 Mei 2025.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, yang memperuntukkan hukuman sebatan tidak melebihi enam kali, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, serta denda tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 10 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tags
DALAM NEGERI
