DUNGUN, 20 JAN: Seramai 51 penghuni daripada 14 keluarga Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Bauk, berhampiran Kampung Durian Mentangau, berdepan tindakan diusir daripada tanah kerajaan negeri Terengganu yang didiami sejak 2016.
Tok Batin Anuar Bakung, 58, berkata penduduk daripada suku Semoq Beri, Jakun dan Temiar menerima surat arahan Pejabat Tanah Dungun bertarikh 15 Julai 2025 yang mengarahkan mereka mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh 90 hari.
Tinjauan mendapati 14 rumah di perkampungan itu turut dipasang notis amaran melarang menduduki tanah kerajaan. Penduduk sebelum ini memohon kebenaran menduduki kawasan tersebut sementara menunggu kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bersama JAKOA Terengganu.
Rumah-rumah itu dibina sebuah NGO, Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia, pada tahun lalu dengan kos kira-kira RM560,000, lengkap kemudahan asas termasuk lampu solar.
Kawasan penempatan berkenaan adalah merupakan tanah kerajaan negeri yang dikenal pasti sebagai tapak cadangan pembinaan Kolej Al-Quran Terengganu.
