KUALA TERENGGANU, 21 JAN: Kumpulan Orang Asli (OA) yang menetap di Hutan Simpan Bukit Bauk berhampiran Kampung Durian Mentangau, Dungun, bukan berasal dari penempatan tetap di kawasan itu, sebaliknya berpindah sementara dari kampung asal mereka di Sungai Pergam, Kemaman untuk bekerja.
Bekas Pensyarah Antropologi Sosial Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Ramle Abdullah, berkata komuniti OA berkenaan mempunyai kampung asal yang sah dan digazetkan sebagai Tanah Rizab Orang Asli (TROA) di Sungai Pergam, lengkap dengan hak milik kekal serta geran tanah.
Menurutnya, penduduk memiliki rumah serta ladang sawit dan getah seluas 836 hektar di atas tanah milik sendiri yang diberikan kerajaan negeri semasa pentadbiran Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, selain mempunyai pendapatan tetap daripada hasil ladang.
Beliau yang telah menjalankan kajian dan bersama komuniti Orang Asli sejak 1986 menjelaskan, penempatan rasmi Orang Asli di Terengganu hanya melibatkan tiga kampung yang telah diiktiraf dan digazetkan seperti disahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sekali gus menafikan dakwaan bahawa wujud penempatan baharu di Durian Mentangau.
Beliau menjelaskan, penempatan di Durian Mentangau dibina bagi memudahkan urusan kerja di kebun durian Musang King, memandangkan jaraknya kira-kira sejam perjalanan dari Sungai Pergam.
Bagaimanapun, Ramle berkata perpindahan sementara itu menyebabkan anak-anak OA terjejas persekolahan, dan menegaskan tiada isu penolakan untuk berpindah kerana mereka hanya perlu kembali ke kampung asal.
Beliau mencadangkan syarikat yang menggaji mereka menyediakan pengangkutan atau penginapan sesuai, selain menekankan hanya ketua keluarga wajar bekerja di lokasi tersebut manakala ahli keluarga lain kekal di kampung asal.
Ramle turut menyuarakan kebimbangan kawasan itu berpotensi dituntut sebagai penempatan baharu jika keadaan dibiarkan, serta mencadangkan rumah yang dibina dipindahkan ke Sungai Pergam bagi mengelakkan ia dirobohkan.
Sebelum ini, media melaporkan 51 penghuni daripada 14 keluarga Orang Asli berdepan tindakan pengusiran selepas menerima notis Pejabat Tanah Dungun bertarikh 15 Julai 2025 untuk mengosongkan tanah kerajaan negeri yang didiami sejak 2016.
Disunting semula dari sumber.
