Hampir ditipu RM250k, tiga kakitangan TH sempat selamatkan warga emas daripada scⱥmmer👍🏻


HULU TERENGGANU, 11 Februari 2026: Tindakan pantas tiga kakitangan Tabung Haji (TH) berjaya menyelamatkan seorang warga emas berusia 71 tahun daripada kerugian RM250,000 selepas disyaki menjadi mangsa penipuan panggilan telefon.


Kakitangan terbabit ialah polis bantuan TH, Mohd Faaiz Mat, 36, kakitangan kaunter Normaiziah Abdul Rahman, 49, serta Pengurus Cawangan TH Kuala Berang Mohd Rusyhidi Che Mohd Rawawi, 37.


Mohd Rusyhidi berkata kejadian berlaku pada 7 Disember lalu antara jam 1 hingga 2 petang apabila mangsa hadir ke kaunter untuk memindahkan wang simpanannya ke akaun bank miliknya. Mereka mula curiga apabila mangsa kelihatan tidak tenang dan menggigil.


“Hasil pertanyaan, kami dapati mangsa bertindak atas arahan individu yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya. Akaun mangsa kemudian disekat sementara dan dia dimaklumkan bahawa dirinya sedang diperdaya sindiket penipuan.


Tindakan itu berjaya menghalang kerugian besar, dan ketiga-tiga kakitangan TH berkenaan menerima surat penghargaan PDRM pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Hulu Terengganu, Selasa lalu.


Mohd Rusyhidi berkata kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini, namun melibatkan jumlah lebih kecil, dan pihak pengurusan sentiasa mengingatkan kakitangan supaya peka terhadap transaksi mencurigakan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata penghargaan diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepekaan kakitangan TH yang berjaya menggagalkan transaksi mencurigakan dan menyelamatkan pelanggan daripada penipuan dalam talian.


IBU PEJABAT POLIS DAERAH HULU TERENGGANU

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan