HULU TERENGGANU, 8 FEBRUARI 2026: Dilahirkan tanpa kedua-dua kaki dan tangan bukanlah penghalang buat Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 19, mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pereka dalaman.
Anak ketiga daripada empat beradik itu diterima melanjutkan pengajian dalam kursus Pelukis Kanan Rekaan Dalaman bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) pada minggu lalu, selepas kemudahan mesra OKU disiapkan oleh pihak pengurusan.
Menurutnya, pelbagai tawaran menyambung pelajaran yang diterima sejak pertengahan tahun lalu terpaksa ditolak kerana kebanyakan institusi sebelum ini tidak mempunyai kemudahan sesuai untuk OKU fizikal sepertinya.
Beliau ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Batu, selepas menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato’ Rozi Mamat, yang menyerahkan komputer riba lengkap dengan perisian rekaan dalaman, sumbangan Yayasan Ketengah bagi kegunaan pembelajaran beliau selama setahun di TTITC.
Rozi berkata sumbangan itu adalah sebagai dorongan motivasi kepada Nur Damia Irsalina untuk terus melanjutkan pelajaran dan memburu cita-cita dalam bidang TVET, selaras usaha Ketengah memastikan tiada anak di wilayah berkenaan tercicir daripada peluang pendidikan.
Foto: Kosmo!
