BESUT, 12 Mac 2026: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu berjaya menangkap dan memindahkan seekor gajah jantan yang tersesat dari Hutan Simpan Hulu Besut ke Kampung Pasir Akar, Hulu Besut.
Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata gajah dewasa tanpa gading berusia kira-kira 30 tahun dan seberat tiga tan itu mula dikesan di Kampung Keruak sejak 5 Mac sebelum ditangkap pada Isnin lalu.
Operasi menaikkan gajah ke lori khas bermula 9 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam dengan bantuan dua gajah denak, Suria dan Indah, serta melibatkan 20 anggota PERHILITAN.
Gajah berkenaan kemudian dilepaskan semula ke habitat asal hari ini.
Seorang penduduk, Razali Awang Hamat, 68, berkata gajah itu sebelum ini merosakkan beberapa pokok kelapa sawit miliknya dengan anggaran kerugian RM1,000, namun lega tindakan pantas PERHILITAN dapat mengelakkan kerosakan lebih besar.
Tags
DALAM NEGERI
