KUALA TERENGGANU, 10 Mac 2026: Seekor anak penyu berjaya diselamatkan selepas didapati tersangkut pada pukat yang dipercayai dibuang ke laut sebelum dihanyutkan ke pesisir pantai.
Menurut perkongsian di laman Facebook Geng Plastik Ija, kejadian itu berlaku di Pantai Batu Burok sekitar jam 7.30 pagi pada Isnin ketika beberapa ahli kumpulan sukarelawan berkenaan menjalankan aktiviti rondaan di kawasan pantai.
Dalam video yang dirakam oleh Mohamad Umbaidah Tengah yang merupakan salah seorang ahli kumpulan tersebut, beberapa individu dilihat berusaha melepaskan seekor anak penyu yang tersangkut pada pukat lama.
Sukarelawan bertindak memotong pukat tersebut bagi membebaskan anak penyu sebelum haiwan itu dilepaskan semula ke laut.
Geng Plastik Ija merupakan kumpulan sukarelawan yang kerap menjalankan aktiviti pembersihan pantai dan kutipan sampah bagi mengurangkan pencemaran plastik di kawasan pesisir.
Rakaman penyelamatan boleh ditonton di laman Geng Plastik Ija.
TV: Terima kasih orang baik!
