KUALA TERENGGANU, 22 April 2026: Seramai 33,796 golongan belia di Terengganu berusia antara 21 hingga 40 tahun telah mendaftar permohonan dalam sistem e-Perumahan bagi memiliki kediaman sendiri setakat Mac 2026.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, angka itu membuktikan permintaan tinggi terhadap rumah mampu milik dalam kalangan anak muda di negeri ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri komited membantu golongan belia memiliki rumah pertama menerusi pelaksanaan Projek Rumah Mampu Milik (RMM) dengan harga lebih rendah berbanding pasaran semasa.
Katanya, harga RMM ditawarkan serendah RM90,000 bagi Jenis A dan RM185,000 bagi Jenis B, selain menyediakan kuota 10 peratus kepada pasangan belia yang sudah berkahwin.
“Kerajaan negeri turut menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah bagi projek RMM Awam bagi mengurangkan beban bayaran bulanan rakyat,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, Rabu.
Sejak 2018 hingga Mac lalu, sebanyak 1,880 unit rumah daripada 20 projek RMM di seluruh Terengganu telah diagihkan kepada golongan muda.
Antara projek tertinggi melibatkan RMM Padang Setengge, Hulu Terengganu (250 unit), PRR Bukit Nenas, Kuala Nerus (187 unit) dan RMM Seri Bandi, Kemaman (187 unit).
