Jurumekap didakwa berpakaian dan berkelakuan seperti wanita


KUALA TERENGGANU, 20 April 2026: Seorang jurumekap dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di sebuah hotel, tahun lalu.


Lelaki berusia 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mat Ropi Busu.


Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail, di sini pada jam 2.25 pagi, 21 November 2025.


Bagaimanapun ketika ditanya mengenai pakaian yang dipakai sewaktu ditahan, tertuduh memaklumkan dia hanya memakai baju tidur.


Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dan menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan