Demi ilmu, 34 pelajar sekolah ditahan ketika menyeberangi Sungai Golok


RANTAU PANJANG: Seramai 34 pelajar sekolah ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas didapati menyeberangi Sungai Golok menggunakan laluan haram untuk ke sekolah, pagi tadi.


Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kumpulan itu terdiri daripada pelajar berusia tujuh hingga 16 tahun, termasuk 12 perempuan. Mereka ditahan kira-kira jam 6.30 pagi.


Menurutnya, semua pelajar berkenaan menyeberang sungai melalui pangkalan haram dari Golok, Thailand ke Rantau Panjang.


“Kita tahan mereka di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.


“Kita tidak boleh beri pengecualian walaupun mereka pelajar. Sesiapa yang masuk atau keluar ikut laluan haram tetap akan ditahan,” katanya.


Difahamkan, pelajar terbabit adalah warga Malaysia tetapi tinggal di Sungai Golok kerana salah seorang ibu bapa mereka warga Thailand.


Mereka bersekolah di Rantau Panjang kerana tidak mempunyai dokumen untuk belajar di Thailand.


Sebelum ini, ada pelajar menyewa di Rantau Panjang, namun terpaksa berhenti kerana masalah kewangan. Kebanyakan ibu bapa mereka hanya bekerja kampung dan tidak mampu menanggung kos sewa.


Akibat itu, mereka mengambil jalan mudah dengan menggunakan bot untuk ke sekolah setiap hari.


Selain itu, kemudahan asrama juga terhad dan hanya untuk pelajar sekolah menengah.


Ini adalah tangkapan pertama melibatkan pelajar sekolah. Selepas ini, mereka perlu menggunakan laluan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan