Pengunjung menjala sotong naik angin, bot mencandat ‘park’ berhampiran pantai


MARANG – Sebuah video berdurasi 24 saat yang tular memaparkan suasana tegang apabila orang ramai yang sedang menjala sotong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kehadiran sebuah bot berhampiran pantai.


Kejadian dipercayai berlaku di Pantai Seberang Marang, ketika orang ramai berpusu-pusu ke lokasi berkenaan bagi menangkap sotong.


Dalam rakaman itu, beberapa individu kedengaran bertempik apabila sebuah bot dilihat berlabuh terlalu dekat dengan pantai sehingga mengganggu aktiviti menjala.


Perkongsian video tersebut turut disertakan kapsyen menyatakan rasa tidak puas hati, antaranya: “Tak comel buat macam ni, orang nak sotong seorang sikit, dia datang pasang lampu hijau dan tarik semua sotong ke bot dia.”


Di ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan orang ramai. Ada yang berpendapat ia soal rezeki masing-masing kerana laut adalah kawasan terbuka, manakala ada juga yang mempersoalkan tindakan bot berkenaan.


Terdapat juga komen mendakwa penggunaan lampu untuk menarik sotong di kawasan pesisir pantai adalah tidak dibenarkan, khususnya jika melibatkan lampu bawah air di zon berhampiran pantai.


Sebelum ini, fenomena jutaan sotong menghampiri Pantai Seberang Marang sejak empat hari lalu menarik perhatian ramai, apabila ia boleh ditangkap dengan mudah menggunakan jala.


Keadaan itu menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke lokasi berkenaan sehingga laluan keluar masuk ke pantai yang sememangnya sempit menjadi semakin sesak.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan