Pantai Teluk Kalong Dicemari Tompokan Minyak


KEMAMAN, 16 April 2026: Pantai Peranginan Teluk Kalong sekali lagi tercemar apabila tompokan minyak dikesan memenuhi kawasan pantai sepanjang kira-kira dua kilometer sejak kelmarin.


Nelayan, Nazri Said, 52, berkata kejadian itu disedari ketika mereka hendak turun ke laut sekitar jam 4 pagi apabila terpijak bahan licin yang tidak berbau seperti diesel atau petrol.


“Dalam keadaan gelap, kami periksa tapak kaki dan dapati ia licin, berwarna kelabu,” katanya.


Menurutnya, keadaan menjadi lebih serius apabila pulang dari laut pada tengah hari, mereka mendapati banyak tompokan minyak selain puluhan hidupan laut seperti ketam, sotong dan ikan gerepoh bersaiz besar ditemui mati terdampar di pesisir pantai.


“Saya percaya kematian hidupan laut ini berpunca daripada pencemaran minyak,” katanya.


Nazri berkata, sebelum ini pantai berkenaan pernah dicemari tumpahan arang batu pada Januari lalu, namun kali ini berdepan pula dengan pencemaran minyak.


Seorang lagi nelayan, Mohamad Hasnam Khalid, 55, meluahkan kebimbangan apabila kejadian itu boleh menjejaskan sumber pendapatan kira-kira 30 nelayan kecil di kawasan berkenaan.


“Apabila banyak hidupan laut mati, kami risau hasil tangkapan juga akan terjejas.


“Kami harap pantai ini dapat dibersihkan segera dan kembali menjadi tumpuan pelancong,” katanya.


Beliau tidak menolak kemungkinan pencemaran itu berpunca daripada kapal yang melalui perairan tersebut.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Hamzah Mohamad berkata pihaknya menerima aduan berhubung penemuan bangkai hidupan laut pada jam 6.45 petang Isnin lalu.


Katanya, sampel minyak, air laut dan pasir telah diambil untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca kejadian.


“Pantai ini perlu dibersihkan segera dan pelan tindakan pembersihan akan digerakkan dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan