MARANG, 13 April 2026: Kerajaan MADANI terus mengangkat martabat institusi pondok dan tahfiz sebagai teras pembinaan insan berakhlak serta berintegriti.
Menerusi Belanjawan 2026, peruntukan disalurkan bagi memperkasa prasarana Sekolah Agama Rakyat dan sekolah tahfiz, termasuk RM1.8 juta untuk 18 institusi di Terengganu, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan bermaruah.
Sebelum itu, Perdana Menteri menghadiri majlis pecah tanah Kolej Matrikulasi Terengganu (KMT) di Bukit Payong, sebuah projek yang telah lama dirancang sejak 2009 dan akhirnya direalisasikan pada tahun ini.
Projek berkenaan dilihat sebagai manifestasi kesungguhan kerajaan dalam menterjemah aspirasi rakyat kepada tindakan nyata, berteraskan nilai ihsan dan keadilan tanpa mengira latar belakang, khususnya dalam memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Terengganu.
Dengan peruntukan awal sebanyak RM27 juta bagi tahun 2026, KMT dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 pelajar, lengkap dengan kemudahan akademik serta prasarana moden yang kondusif.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh dan memartabatkan pendidikan, termasuk institusi agama, sebagai asas melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya tahan demi masa depan negara yang lebih sejahtera.
