Terengganu catat rekod baharu, pelaburan cecah RM11.12 bilion


KUALA TERENGGANU, 23 April 2026: Terengganu mencipta sejarah baharu apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.12 bilion dalam tempoh tiga tahun, dengan tahun 2025 muncul sebagai pencapaian tertinggi pernah direkodkan negeri itu.


Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kejayaan itu turut membuka 5,127 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk industri, tenaga dan teknologi hijau.


Menurut beliau, sebanyak RM3.27 bilion dicatatkan pada 2023, diikuti RM264.4 juta pada 2024, sebelum melonjak mendadak kepada RM7.58 bilion pada 2025 setakat Disember.


Katanya, lonjakan besar itu membuktikan Terengganu kini semakin menyerlah sebagai antara negeri penting dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, malah berpotensi menjadi hab tenaga hijau serantau.


“Industri tenaga hijau sahaja menyumbang sekitar RM2.9 bilion menerusi projek solar hibrid di Tasik Kenyir dan RM800 juta melalui projek solar di Pulau Bidong,” katanya ketika menggulung perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman.


Beliau turut memaklumkan kapasiti penjanaan elektrik Terengganu kini mencecah 1,012.91 megawatt (MW), termasuk penjanaan di Stesen Sultan Mahmud Kenyir serta ladang solar swasta.


Menurutnya, Terengganu kini menyumbang kira-kira 20 peratus tenaga hijau negara, dan angka itu dijangka meningkat kepada 30 peratus menjelang 2030.


Tambah beliau, kelebihan itu membuka ruang untuk Terengganu muncul sebagai pengeksport tenaga hijau, selain pusat rujukan industri tenaga bersih negara.


Kerajaan negeri juga sedang membuka laluan kepada pelaburan baharu seperti pusat data hijau, hidrogen hijau dan industri berasaskan tenaga bersih, sekali gus menjadikan Terengganu antara destinasi pelaburan masa depan paling berpotensi di Malaysia.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan