Syukri Bazli Terima ‘Walk of Honor’ di HSNZ, Pemergian Bawa Harapan Baharu Kepada Pesakit


KUALA TERENGGANU, 28 April 2026: Pemergian Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga, malah turut memberi sinar baharu kepada beberapa pesakit apabila organ-organ beliau didermakan melalui Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).


Menurut sahabat arwah, Ahmad Nazrul, Allahyarham disahkan mengalami mati otak selepas serangan jantung sebelum proses pendermaan organ dijalankan dengan keizinan penuh keluarga.


Sebagai penghormatan terakhir, satu majlis ‘Walk of Honor’ diadakan apabila petugas perubatan mengiringi Allahyarham dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ke dewan bedah sebelum pembedahan dijalankan.


Ahmad Nazrul berkata, proses pengambilan organ bermula pada waktu pagi dan selesai sekitar jam 1 tengah hari. Antara organ serta tisu yang didermakan ialah hati, dua buah pinggang, tulang dan kulit.


Katanya, hati dihantar ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur untuk seorang kanak-kanak, manakala satu buah pinggang dihantar ke Hospital Selayang dan satu lagi ke Universiti Malaya bagi pesakit yang menjalani dialisis akibat diabetes.


“Tulang yang didermakan akan digunakan untuk prosedur bone graft melibatkan pesakit kemalangan, kanser tulang dan masalah tulang belakang, manakala kulit pula bagi rawatan pesakit melecur teruk serta pembedahan rekonstruktif,” katanya.


Selepas selesai proses pendermaan, penggantian sementara (prostetik) turut dilakukan bagi mengekalkan bentuk fizikal jenazah.


Jenazah Allahyarham Muhammad Syukri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peroh, Ajil sekitar jam 9.30 malam pada Sabtu.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak, termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU). Pemergiannya bukan sahaja diratapi insan tersayang, malah menjadi anugerah tidak ternilai kepada mereka yang menanti peluang kedua untuk hidup.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan