Akhirnya Tertangkap! Beruang Matahari 40kg Masuk Perangkap PERHILITAN


DUNGUN, 6 MEI 2026: Detik cemas yang menghantui penduduk Kampung Rantau Abang sejak beberapa bulan lalu akhirnya merasa lega apabila seekor beruang matahari berjaya diperangkap, pagi semalam.

Kehadiran haiwan liar itu sebelum ini bukan sahaja mengganggu kawasan kebun, malah menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk yang khuatir keselamatan mereka terancam.

Pekebun, Mohd Amiruddin Maznan, 36, berkata, beruang terbabit disedari masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di kebunnya kira-kira jam 6.45 pagi.

“Sejak dua bulan lalu, perangkap dipasang dan saya sendiri letak umpan seperti kulit nangka, cempedak serta minyak masak.

“Alhamdulillah, pagi ini usaha itu berhasil apabila seekor lagi beruang berjaya ditangkap,” katanya.

Menurutnya, kawasan kebun seluas kira-kira dua hektar yang diusahakan bersama ibu saudara, Suriani Ngah, 55, dan bapa saudara, Radzi Ngah, 43, sebelum ini beberapa kali diceroboh haiwan liar berkenaan.

Malah, pada 2 Mac lalu, seekor beruang matahari seberat kira-kira 40 kilogram pernah ditangkap, namun keesokannya satu lagi kelibat beruang ditemui tidak jauh dari kawasan sama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rantau Abang, Atan Mat Nor berkata, situasi belum sepenuhnya selamat apabila dipercayai masih ada seekor lagi beruang berkeliaran.

“Kehadiran seekor lagi beruang yang masih bebas menimbulkan kebimbangan penduduk, terutama mereka yang keluar ke kebun atau melakukan aktiviti harian,” katanya.

Seorang penduduk, Hamid Daud, 68, turut berharap pihak PERHILITAN meneruskan operasi dan memasang perangkap tambahan bagi memastikan keselamatan kampung terus terjamin.

Insiden itu sekali lagi mengingatkan bahawa konflik antara manusia dan hidupan liar bukan perkara kecil, malah memerlukan tindakan berterusan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan