BESUT, 8 Mei 2026: Suasana tenang di sebuah madrasah tahfiz bertukar cemas dalam sekelip mata apabila bunyi cermin tingkap pecah menjadi petanda awal kebakaran yang hampir meragut segalanya.
“Saya sempat minta seorang pelajar turun ke tingkat bawah untuk tengok apa yang berlaku selepas terdengar bunyi cermin pecah,” kata warden Madrasah Tahfiz Nurul Mukhtar, Muhammad Syahril Muhammad Shamsudin ketika mengimbau detik mencemaskan itu.
Namun katanya, pelajar terbabit tidak sempat turun apabila api dilihat mula marak dari bahagian tepi bangunan tingkat dua tempat mereka berkumpul.
Ketika kejadian sekitar jam 8.40 pagi, kebanyakan pelajar sedang berehat selepas tamat kelas. Ada yang menikmati sarapan di dewan makan, manakala sebahagian lagi naik ke asrama untuk menukar pakaian sebelum sesi gotong-royong perdana dijalankan.
Muhammad Syahril berkata, ketika itu dia bersama lima pelajar lain sedang berbincang di tingkat dua sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat berkenaan.
“Saya terus arahkan pelajar ambil alat pemadam api sebab ketika itu api masih kecil dan boleh dikawal.
“Tetapi dalam beberapa minit sahaja api semakin marak kerana bilik yang dijadikan stor itu menyimpan banyak tilam. Api merebak terlalu cepat,” katanya.
Menurutnya, semua pelajar kemudian segera diarahkan turun sebelum panggilan kecemasan dibuat kepada pihak bomba.
Syukur, tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun sebahagian bangunan tiga tingkat itu mengalami kerosakan teruk, terutama di bahagian kiri asrama.
Bangunan berkenaan menempatkan ruang pembelajaran di tingkat bawah manakala tingkat dua dan tiga dijadikan asrama kepada 35 pelajar berusia antara sembilan hingga 18 tahun.
“Ini kejadian pertama sejak madrasah ini beroperasi pada tahun 2011. Pelajar juga dibenarkan bercuti seminggu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Ahmad Khairuddin Ismail, 17, mengakui ramai rakannya tidak sempat menyelamatkan barang peribadi masing-masing.
“Saya bernasib baik sebab katil saya di sebelah kanan bangunan. Barang saya tak terbakar, cuma basah akibat operasi pemadaman,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.15 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut dikejarkan ke lokasi.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.01 pagi dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.26 pagi.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mengikuti perkembangan kejadian itu turut menzahirkan rasa syukur apabila semua pelajar dan tenaga pengajar selamat walaupun berdepan detik mencemaskan.
