SETIU, 7 Mei 2026: Kehadiran pasar raya Mydin di Jabi nyata membawa khabar gembira buat penduduk apabila rangkaian peruncit dan pemborong halal terbesar negara itu rasmi membuka cawangan baharunya di kawasan berkenaan pada Khamis.
Dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM1.7 juta, pembukaan pasar raya tersebut bukan sekadar menambah pilihan membeli-belah, malah dilihat mampu menjadi ‘penyelamat poket’ rakyat ketika kos sara hidup terus menjadi perhatian ramai.
Lebih menarik, Mydin tampil dengan pelbagai promosi luar biasa sempena pembukaan cawangan itu termasuk tawaran ayam pada harga RM1 seekor bagi 100 pelanggan pertama ahli Meriah, sekali gus mencetuskan keterujaan penduduk sekitar.
Turut menjadi perhatian ialah tawaran ikan bawal emas pada harga RM3.99 seekor, mi kuning 10 sen, minyak masak 5 kilogram RM29.89 dan beras putih import 10 kilogram RM28.99 berbanding harga asal RM35.85.
Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimmat Mydin berkata, pembukaan cawangan di Jabi merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam memastikan masyarakat mendapat akses kepada produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan.
Menurutnya, konsep ‘harga rakyat’ yang diperjuangkan Mydin bukan sekadar slogan, tetapi satu usaha membantu semua lapisan masyarakat menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Pembukaan Mydin Jabi ini adalah komitmen kami untuk memastikan masyarakat setempat menikmati akses kepada produk berkualiti pada harga kompetitif.
“Kami mahu rakyat dapat membeli keperluan harian tanpa terbeban dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pasar raya tersebut.
Majlis perasmian cawangan berkenaan disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Datuk Dr Azman Ibrahim.
Menurut beliau, kehadiran Mydin di Jabi bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah mampu merancakkan lagi ekonomi setempat terutama sektor pertanian yang menjadi nadi utama kawasan itu.
Katanya, pasar raya tersebut boleh menjadi platform strategik untuk memasarkan hasil tani tempatan ke pasaran yang lebih luas selain membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk.
“Ini adalah satu langkah besar untuk membantu ekonomi keluarga di Jabi. Pengguna hari ini semakin bijak memilih tempat membeli-belah yang memberi nilai terbaik kepada wang mereka,” ujarnya.
Pasar raya setingkat yang dibina di atas keluasan 38,151 kaki persegi itu menawarkan lebih 10,935 unit stok simpanan (SKU) merangkumi barangan runcit, makanan segar, pakaian dan kelengkapan rumah.
Selain menjadi pusat membeli-belah baharu penduduk sekitar, pembukaan Mydin Jabi juga dijangka membuka peluang pekerjaan serta ruang perniagaan kepada komuniti tempatan.
Dalam masa sama, Mydin turut meneruskan agenda kebajikannya menerusi program CSR Mydin Prihatin bagi membantu golongan memerlukan di kawasan sekitar.
Di media sosial, berita pembukaan Mydin Jabi mula menerima perhatian ramai dengan rata-rata netizen menyifatkan kehadiran pasar raya itu sebagai “berita baik untuk rakyat” terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
