KUALA LUMPUR, 11 Mei 2026: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan bagi membantu ahli mengurus kewangan persaraan dengan lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, menerusi kemudahan i-Legasi, ahli berusia 55 atau 60 tahun ke atas kini dibenarkan memindahkan sebahagian lebihan simpanan mereka kepada pasangan atau anak-anak yang mempunyai akaun KWSP.
Menurutnya, pemindahan itu hanya membabitkan baki simpanan yang melebihi tahap Simpanan Mencukupi mengikut Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA).
Dalam masa sama, KWSP turut menjenamakan semula kaedah bayaran bulanan Pengeluaran Umur 55/60 Tahun kepada i-Emas bagi menggalakkan ahli mengurus simpanan secara lebih mampan selepas bersara.
Ahmad Zulqarnain berkata, lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan setakat ini kerana ia membantu memastikan pendapatan lebih stabil selain baki simpanan terus menerima dividen tahunan.
KWSP turut melancarkan Kalkulator Matlamat Persaraan dalam aplikasi i-Akaun bagi membantu ahli merancang jumlah simpanan diperlukan berdasarkan gaya hidup dan perbelanjaan masa depan.
Tags
NASIONAL
