KUALA LUMPUR, 15 Mei 2026: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin cecair dan gel daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 adalah “tidak rasional”.
Hakim Mahkamah Tinggi, Aliza Sulaiman, membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman difailkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap Kementerian Kesihatan dan kerajaan berhubung tindakan nyahsenarai nikotin vape tersebut.
Tiga NGO terbabit ialah Malaysian Council for Tobacco Control (MCTC), Malaysian Green Lung Association (MGLA) dan Voice of the Children (VoC).
Kes berkenaan mencabar keputusan kerajaan pada 31 Mac 2023 ketika diterajui bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, yang mengeluarkan nikotin cecair dan gel digunakan dalam rokok elektronik daripada Senarai Racun bagi membolehkan cukai eksais dikenakan terhadap produk vape bernikotin.
Pada 28 Januari lalu, mahkamah mendengar hujahan semua pihak sebelum menetapkan 15 Mei untuk keputusan kes.
Hakim turut menyatakan keputusan nyahsenarai itu dilihat lebih menjurus kepada kepentingan percukaian dan ekonomi berbanding aspek kesihatan awam.
Peguam mewakili NGO terbabit, K Shanmuga, sebelum ini berhujah tindakan nyahsenarai itu menyebabkan produk vape bernikotin seolah-olah tidak dikawal dan boleh dijual secara sah kepada kanak-kanak selama hampir 17 bulan sehingga akta kawalan baharu berkuat kuasa pada Oktober 2024.
Susulan keputusan mahkamah itu, beberapa NGO kesihatan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula status nikotin cecair dan memperketat kawalan terhadap produk vape di negara ini.
