KUALA LUMPUR, 16 Mei 2026: Majlis Amanah Rakyat akan menawarkan pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti program kadet juruterbang dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz aliran STEM.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, iklan permohonan serta syarat kelayakan program tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, calon yang ingin menyertai program itu perlu memenuhi syarat asas ditetapkan akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group dan BATS.
Katanya, akademi yang mendapat tajaan MARA juga perlu mempunyai kerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menjamin peluang pekerjaan kepada pelatih selepas tamat latihan.
Tambah beliau, program itu terbuka kepada semua pelajar berkelayakan khususnya daripada aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), namun pelajar tahfiz akan diberikan keutamaan.
“Mereka perlu melalui proses pemilihan dan temu duga termasuk sesi tebuk hafazan al-Quran pada peringkat akhir,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Tags
NASIONAL
